MOHD SUBKI BIN ABDUL KADIR POLITEKNIK KOTA BHARU
Kajian ini dijalankan bagi menilai keberkesanan aplikasi mudah alih QS Pro Guide sebagai media pembelajaran bagi pelajar Diploma Ukur Bahan. Penggunaan teknologi digital dalam pendidikan dilihat mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbanding kaedah konvensional yang bergantung kepada bahan bercetak dan penyampaian manual. Aplikasi QS Pro Guide dibangunkan untuk membantu pelajar memahami kandungan kursus seperti Course Outline (CO), taking-off list, unit pengukuran, description of works dan rujukan Standard Method of Measurement (SMM2) secara lebih mudah, cepat dan sistematik. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui edaran borang soal selidik kepada 71 responden yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar Diploma Ukur Bahan. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif berdasarkan skor min bagi setiap item. Dapatan kajian menunjukkan bahawa semua item memperoleh tahap sangat tinggi dengan skor min antara 4.48 hingga 4.70. Item mengenalpasti taking-off list mencatat skor tertinggi iaitu 4.70, manakala item memahami Course Outline dan unit pengukuran masing-masing mencatat skor min 4.67. Aspek reka bentuk aplikasi, navigasi, susunan menu dan paparan kandungan juga menerima maklum balas yang sangat positif daripada pengguna. Selain itu, penggunaan QS Pro Guide didapati lebih efektif berbanding kaedah konvensional dari aspek capaian data, mobiliti, autonomi pelajar dan pengurangan penggunaan bahan bercetak. Pelajar dapat mengakses bahan rujukan secara pantas dan fleksibel tanpa batasan masa serta lokasi. Kesimpulannya, aplikasi QS Pro Guide berpotensi menjadi medium pembelajaran digital yang efektif dalam menyokong transformasi pendidikan TVET dan pembelajaran abad ke-21.