Muhammad Danial Sabri Bin Abdul Rahman SMK Taman Sri Muda
Penggunaan meluas agen penggumpalan sintetik berasaskan aluminium dalam rawatan air telah menimbulkan kebimbangan terhadap penghasilan enap cemar berbahaya dan kesan toksik jangka panjang terhadap alam sekitar. Walaupun penggumpal konvensional berkesan menyingkirkan bahan terampai dan logam berat, penggunaannya secara berlebihan boleh menyumbang kepada risiko karsinogenik dan neurotoksik akibat pengumpulan sisa aluminium. Kajian ini memperkenalkan Aqua Moringa, iaitu bio-penggumpal lestari yang dibangunkan daripada biji Moringa oleifera sebagai alternatif mesra alam untuk penjernihan air. Formulasi ini menggunakan teknik pengekstrakan berbantu garam bagi meningkatkan keberkesanan protein kationik dalam meneutralkan zarah koloid bercas negatif serta mengurangkan pencemaran mikrob dalam air. Analisis eksperimen menunjukkan pengurangan kekeruhan air yang signifikan selepas rawatan menggunakan tablet bio-penggumpal yang dibangunkan. Berbanding ekstrak Moringa tanpa pemprosesan, kaedah pengekstrakan menggunakan NaCl meningkatkan kecekapan penggumpalan dan pemendapan. Aqua Moringa menawarkan penyelesaian rawatan air yang murah, biodegradasi dan mudah diakses terutamanya bagi komuniti luar bandar yang kekurangan infrastruktur rawatan air moden. Inovasi ini sejajar dengan SDG 6 dalam menyokong akses kepada air bersih dan teknologi sanitasi lestari.