IRIS MARYAM BINTI MOHD FAIZAL SK PESERAI
Penggunaan bahan api fosil seperti minyak tanah dan diesel dalam pelita tradisional telah lama menjadi amalan, namun ia menimbulkan pelbagai isu seperti pencemaran alam sekitar, kos yang tinggi, dan kebergantungan kepada sumber petroleum yang tidak boleh diperbaharui. Kajian ini membentangkan satu inovasi dalam penghasilan pelita yang menggunakan minyak masak terpakai dan lilin sebagai bahan api alternatif yang lebih mesra alam, murah, dan lestari. Inovasi ini menjadikan minyak masak terpakai yang lazimnya dibuang tanpa pengurusan yang betul seperti dibuang ke dalam longkang, sinki, dan tanah dapat dikitar semula bagi menghasilkan bahan bakar yang stabil dan mudah terbakar bagi menggantikan bahan bakar dari sumber petroleum. Ujian ke atas pelita inovatif ini menunjukkan prestasi pencahayaan yang setanding dengan pelita berasaskan minyak tanah, di samping menghasilkan asap dan bau yang lebih rendah. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa domestik dan pencemaran air dan tanah tetapi juga menyediakan pilihan tenaga alternatif yang mampan khususnya untuk komuniti luar bandar, ketika berlakunya gangguan bekalan elektrik atau semasa menjelang hari perayaan. Justeru, inovasi kecil tapi memberi impak yang besar ini berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu langkah ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam kehidupan harian.