DR. MOHD SYAZWAN ZAINAL MAKMAL PEMBELAJARAN AUTISME, FAKULTI PENDIDIKAN,UKM
Kemahiran menunggu dan mengambil giliran merupakan komponen asas dalam perkembangan kemahiran sosial yang penting bagi membantu Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) mengawal tingkah laku, berinteraksi secara berkesan dengan rakan sebaya dan melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun demikian, MBPK, khususnya bagi MBPK kategori Autisme sering berhadapan kesukaran untuk memahami konsep tersebut, terutamanya dalam konteks aktiviti berkumpulan dan persekitaran sosial yang dinamik. Sehubungan itu, Turn-Buddy dibangunkan sebagai alat sokongan pengajaran berasaskan visual yang bertujuan membantu MBPK menguasai kemahiran tersebut secara sistematik dan konsisten. Kajian kebolehgunaan alat ini dilaksanakan melalui pemerhatian sistematik selama empat minggu yang melibatkan enam orang MBPK kategori Autisme berumur antara enam hingga lapan tahun. Data dikumpul menggunakan borang senarai semak serta ujian pra dan pasca bagi menilai tahap penguasaan kemahiran menunggu dan mengikut giliran sebelum dan selepas intervensi. Instrumen kajian turut merangkumi penilaian perubahan tingkah laku murid dalam aspek pemahaman dan pelaksanaan kemahiran tersebut. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan yang positif dalam keupayaan murid untuk menunggu dengan lebih tertib serta memahami konsep giliran dalam pelbagai situasi sosial. Secara keseluruhan, Turn-Buddy berpotensi sebagai alat sokongan pembelajaran yang efektif dalam meningkatkan kemahiran sosial MBPK, di samping boleh diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai konteks pembelajaran bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan inklusif. Inovasi ini diintegrasikan daripada Modul Sahsiah, Sosioemosi dan Identiti Kelas TRANS-SOSIAL yang kini dalam proses pendaftaran perlindungan harta intelek serta memperoleh nombor ISBN.